mutakhir

Arkitek didakwa tipu RM142,000

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

SEORANG arkitek didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan menipu membabitkan kontrak pengubahsuaian bangunan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM142,000.

Tertuduh, Diramahadi Harun @ Che Din, 43, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Diramahadi didakwa menipu Tan Chee Ping, 62, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh melakukan permohonan “pelan rekaan pengubahsuaian” kepada pihak DBKL yang tidak wujud sehingga mangsa memberi kontrak pengubahsuaian bangunan miliknya kepada tertuduh.

Perbuatan terbabit mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM142,786 kepada tertuduh dengan memasukkan wang itu ke dalam dua akaun bank CIMB dan Maybank di Lot 7648, Jalan Jinjang Aman 2, Jinjang Utara antara 4 Julai hingga 3 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom, memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai empat anak.

“Jumlah jaminan RM50,000 adalah terlalu tinggi dan tidak boleh dibayar oleh tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 8:04pm
d