mutakhir

Kanser tak halang Nurin kreatif, cemerlang

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MESKIPUN menghidap kanser darah limfoma sejak lebih setahun lalu, namun Nurin Amira Aleya Mohd Khairi, 11, gigih melawan penyakitnya dan tidak sabar mahu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.

Dia mula dikesan menghidap penyakit itu pada Januari tahun lalu, selepas mengalami demam berlarutan dan hidung berdarah serta bengkak di kedua belah leher sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Akibat penyakit itu, dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma, tidak dapat ke sekolah selama setahun selepas disahkan menghidap kanser menyebabkan banyak tercicir pelajaran.

Bapanya, Mohamad Khairi Mohamad, 38, berkata, anak sulung dari dua beradik itu hanya dapat kembali bersekolah awal tahun ini, namun kerap tidak hadir disebabkan kerap letih.

Bagaimanapun katanya, anaknya masih mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun baru-baru ini dengan mendapat kedudukan pertama dalam kelas.

“Ketika dirawat di HSB dan kemudian ke Hospital Pulau Pinang (HPP), Nurin Amira banyak menghabiskan masa melukis dan kebanyakan lukisan yang dihasilkan adalah komik serta potret, malah ada juga lukisan dibuat menggunakan telefon bimbit.

“Dalam sehari, dia mampu menyiapkan tiga lukisan dan berhasrat menjual lukisan itu untuk mendapatkan wang membeli telefon bimbit baharu untuk membantunya mengulangkaji pelajaran di rumah melalui WhatsApp dengan guru, ” katanya.

Mohamad Khairi berkata, anaknya kini dalam proses menjalani rawatan kemoterapi di HPP setiap bulan dan kos ulang alik untuk ke sana mencecah RM200.

“Saya hanya ingin memastikan anak mendapat rawatan secukupnya, walaupun pendapatan saya sebagai kakitangan Pos Malaysia hanya RM1,200 sebulan selain perlu menyara seorang lagi anak yang berusia lapan tahun.

“Isteri pula bekerja swasta dan kadangkala tidak dapat bekerja kerana menjaga Nurin Amira kerana dia adakalanya tidak sihat, tetapi tetap terus berjuang melawan penyakitnya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan melalui akaun bapanya 02105020208037 (Bank Islam) atau menghubungi talian 018-9427134.

Sementara itu, ketabahan Nurin Amira mendapat simpati daripada Penaung Survivor Kanser Malaysia, Zuraini Kamal yang menyampaikan sumbangan barangan sekolah dan barangan keperluan makanan untuk kanak-kanak itu.

Terdahulu, Nurin Amira turut dikunjungi wakil Menteri Besar, Rohayati Ayob bersama wakil Persatuan Sahabat Prihatin dan Persatuan Sahabat Asnaf Kedah yang menyampaikan sumbangan pakaian sekolah kepadanya.

Disiarkan pada: November 30, 2018 @ 8:54pm
d