mutakhir

DBKK kesal [METROTV]

Oleh Fardy Bungga

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kesal kerana ada pengusaha premis makanan di bandar raya ini mengambil jalan mudah membuang sisa makanan terus ke dalam parit, sekali gus menjadi punca pembiakan tikus.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai berkata, pengusaha restoran perlu memastikan sisa makanan diurus dengan baik bagi mengelak ia menjadi sumber makanan kepada tikus kerana pembiakan haiwan itu bukan saja membawa wabak penyakit, malah menjejaskan imej bandar raya ini.

Beliau menegaskan, usaha menangani pembiakan tikus dan mengindahkan kawasan bandar raya ini perlu diperhebatkan dalam usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai pusat pelancongan terkemuka dunia.

“Menerusi kempen menangani tikus, DBKK mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha premis makanan supaya menguruskan sisa makanan dengan teratur,” katanya kepada media selepas program khas menangani tikus di Segama, di Kota Kinabalu, hari ini.

Menerusi program itu, seramai 115 kakitangan DBKK bergotong-royong membersihkan parit dan kawasan sekitarnya, selain melakukan pemeriksaan premis berkenaan cara pengurusan sisa makanan dan khidmat nasihat berhubung cara kawalan pembiakan tikus.

Boon Hai berkata, masyarakat perlu mengambil maklum, pembiakan tikus juga membawa kepada masalah lain seperti kerosakan sistem pendawaian elektrik yang boleh mengakibatkan kebakaran.

“Hari ini kita bukan saja bergotong-royong membersihkan parit dan melakukan semburan untuk menghalang pembiakan nyamuk, malah meletakkan racun tikus di kawasan berpotensi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dalam tempoh seminggu bagi memastikan peniaga mematuhi arahan itu dan sekiranya gagal mereka akan dikompaun.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 12:09pm
d