mutakhir

Rusuhan kuil: 'Kenyataan itu berniat jahat...'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KERAJAAN memandang serius kenyataan tanpa usul periksa dan tidak bertanggungjawab dibuat oleh President of Hindu People’s Party (Hindu Makkal Katchi), Arjun Sampth mengenai insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, baru-baru ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, kenyataan dibuat itu mempunyai niat jahat untuk mengeruhkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India.

“Melalui perbincangan antara Kementerian Luar dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar, beliau (Mridul) memberikan jaminan bahawa kerajaan India menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil oleh Malaysia bagi menangani isu ini dan tidak akan mencampuri urusan dalaman Kerajaan Malaysia,” katanya.

Pada 28 November lalu, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India menerima memorandum daripada Arjun yang secara dasarnya mengutuk insiden perbalahan di kuil Sri Maha Mariamman dengan menyatakan bahawa seramai 200 orang pengganas Islam membuat serangan ke atas kuil serta penganut Hindu yang cuba mempertahankan kuil terbabit

Memorandum tersebut mendakwa kerajaan Malaysia bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden itu.

Hindu Makkal Katchi adalah sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di daerah Tamil Nadu, India.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di Parlimen menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut adalah kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan 30 individu yang terbabit dengan insiden berkenaan.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 2:59pm
d