mutakhir

Satu maut kereta langgar pokok

Oleh Ruwaida Md Zain

SEORANG wanita tanpa identiti maut, manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan di Jalan Pusat Perdagangan Seri Putri, Seksyen 20, Shah Alam, hari ini.

Kereta Proton Wira yang dipandu lelaki, 24, dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di tengah pembahagi jalan di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi Zakaria Mohd dan bantuan jentera serta tujuh anggota BBP Kota Anggerik dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati dua mangsa lelaki berusia 24 dan 26 tahun serta seorang mangsa wanita tanpa identiti.

“Mangsa pertama lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam, manakala mangsa kedua tersepit di tempat duduk belakang.

“Wanita itu yang masih berada di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, anggotanya berjaya mengeluarkan mangsa kedua dan ketiga lalu diserahkan kepada pasukan perubatan.

“Mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok. Kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2018 @ 9:37pm
d