mutakhir

Pasar Malam Api-Api tarikan terbaharu

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PASAR Malam Api-Api di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, yang dilancarkan malam tadi, kini menjadi tarikan pelancongan terbaharu bagi bandar raya ini.

Ia beroperasi dari 6 petang hingga 2 pagi setiap Jumaat dan Sabtu dengan lebih 100 gerai menjual pelbagai produk seperti makanan, buah-buahan dan kraftangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri mewujudkan pasar malam berkenaan.

Beliau berkata, pasar malam itu bukan sahaja menjadi tarikan pelancong luar, malah pengunjung tempatan khususnya warga bandar raya ini.

“Justeru, lawatan atau percutian ke Kota Kinabalu tidak akan lengkap tanpa berkunjung ke Pasar Malam Api-Api atau Pameran Jalan Gaya di sini,” katanya sempena perasmian Pasar Malam Api-Api di Jalan Gaya, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, peniaga makanan di bandar raya ini perlu mengutamakan kebersihan premis, selain memastikan semua kemudahan sentiasa dalam keadaan baik dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.

Beliau berkata, ia perkara asas yang akan sering dilihat oleh pengunjung khususnya pelancong asing setiap kali datang ke sesuatu tempat.

“Kita mahu Sabah terutama bandar raya ini sentiasa dalam keadaan bersih kerana Kota Kinabalu adalah ibu negeri yang kerap menjadi pilihan pelancong untuk bercuti.

“Kebersihan bukan sahaja mampu menarik perhatian pengunjung, malah ia faktor utama memastikan semua penduduk dalam persekitaran kehidupan sihat,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 8:52am
d