mutakhir

[UPDATE] Pemandu kereta pula meninggal

Oleh Ruwaida Md Zain

PEMANDU kereta Proton Wira yang dilaporkan cedera dalam kemalangan di Jalan Pusat Perdagangan Seri Putri, Seksyen 20, Shah Alam, petang semalam, disahkan meninggal dunia, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia menjadikan dua maut dalam kemalangan berkenaan.

“Pada 10.30 malam tadi, polis terima makluman dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menyatakan pemandu kereta disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

“Ini menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan petang semalam adalah dua orang.

“Mangsa pertama meninggal dunia iaitu seorang wanita sudah dikenal pasti identitinya dan beralamat di Seksyen 26, Shah Alam manakala mangsa kedua yang meninggal beralamat di Seksyen 16, Shah Alam,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita tanpa identiti maut, manakala dua lelaki cedera dalam kemalangan di Jalan Pusat Perdagangan Seri Putri, Seksyen 20, Shah Alam.

Kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di tengah pembahagi jalan di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang.

“Setiba di lokasi, bomba mendapati dua mangsa lelaki berusia 24 dan 26 tahun serta seorang mangsa wanita tanpa identiti terbabit dalam kemalangan itu.

“Mangsa pertama lelaki berjaya dikeluarkan orang awam, manakala mangsa kedua tersepit di tempat duduk belakang.

“Wanita itu yang masih berada di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, anggotanya berjaya mengeluarkan mangsa kedua dan ketiga lalu diserahkan kepada pasukan perubatan manakala mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

'Satu maut kereta langgar pokok'

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 10:20am
d