mutakhir

Buka empat kertas siasatan Akta Hasutan

Oleh Iskandar Shah Mohamed

POLIS membuka empat kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 berkaitan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya menerima empat laporan polis yang menerima kesan akibat penularan berita dalam media sosial berkaitan kejadian itu.

“Keempat-empat kes sudah dibuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Ia termasuk membabitkan tangkapan ke atas ‘Papa Gomo’ (Wan Muhammad Azri Wan Deris) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mempunyai niat jahat dan cuba memecah belahkan perpaduan rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

Beliau berkata, laporan polis akan dibuat dan seterusnya siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka yang terbabit mengenainya.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan pengendali blog Papa Gomo berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.

Penahanan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri yang didakwa cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman.

Media melaporkan sebanyak 18 kenderaan dibakar dan sebuah MPV polis dibaling batu dalam kejadian rusuhan di tapak kuil itu pada 26 November lalu.

Dalam kejadian 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan berkenaan.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 10:37am
d