mutakhir

Setengah juta ringgit dalam dua hari

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LEBIH setengah juta ringgit berjaya dikutip Polis Kontinjen Terengganu hasil bayaran saman yang ditawarkan diskaun 50 peratus, sempena Hari Bersama Pelanggan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Nor Nizam Johari berkata, pihaknya membuka kaunter saman selama dua hari berakhir semalam.

“Keseluruhannya kita berjaya kutip RM542,910 membabitkan 4,697 saman. Peluang diskaun diberi kepada pesalah trafik untuk jelaskan tunggakan saman mereka.

“Dalam tempoh dua hari bermula Jumaat, kaunter dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu seawal 8.30 pagi, dihadiri 1,750 pesalah trafik,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM345,800 hasil daripada 3,317 kesalahan memandu melebihi had laju dan halangan lalu lintas, manakala RM196,110 daripada lain-lain kesalahan trafik.

“Jumlah saman tertinggi diterima adalah RM4,000 membabitkan syarikat, manakala individu adalah RM2,000,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Nizam berkata, tawaran diskaun tidak termasuk enam jenis saman iaitu kemalangan tahun semasa, berstatus NC, berstatus waran tahun semasa, dalam perbicaraan, berkaitan lori dan sebarang saman sempena Op Selamat tahun semasa.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 9:22pm
d