mutakhir

Penyamun terkejut mangsa menjerit

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI berpura-pura mahu menukar wang sebelum merompak kedai runcit di Lorong Panglima Perang, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Kejadian dipercayai berlaku 2.10 petang ketika pemilik kedai runcit (wanita) berusia 58 tahun berada di premisnya.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, suspek masuk ke dalam kedai dan membeli rokok dan memberitahu mahu menukar wang kecil dengan mangsa.

Katanya, suspek kemudian mengeluarkan wang RM100 untuk tujuan itu dan mangsa tidak mengesyaki apa-apa sebelum memberitahu dia hanya mempunyai wang RM50 sahaja.

“Ketika mangsa mahu mengambil wang di dalam laci, suspek bertindak mengacukan pisau ke tengkuknya dan mengugut supaya menyerahkan semua wang yang ada.

“Mangsa yang terkejut menepis tangan suspek sambil menjerit. Suspek yang terkejut dengan jeritan itu kemudian melarikan diri menaiki kereta Perodua Axia.

“Bagaimanapun, dia sempat mengambil wang sebanyak RM50 yang ada di tangan mangsa,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan kejadian mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan memberitahu suspek berjaya diberkas pihaknya di Batu Rakit, Kuala Nerus, 5 petang semalam.

“Suspek berusia 20 tahun dan tidak bekerja ditahan reman selama empat hari hingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan rompak,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 9:55pm
d