mutakhir

SUV klon rupanya

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PADAH tidak mengetahui kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya sudah diklon, seorang lelaki terpaksa menghubungi rakannya bagi membawanya pulang selepas SUV itu disita di Jalan Kuala Perlis, Kangar, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai pembantu kedai ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengadakan Operasi Khas sejak kelmarin.

Pengarah JPJ Perlis, Shahrul Azhar Md Dali berkata, lelaki berasal dari Pulau Pinang itu mendakwa SUV dipandunya itu adalah milik majikannya dan dia tidak tahu bahawa ia adalah kenderaan klon.

"Lelaki itu mendakwa majikannya yang menetap di Kuala Lumpur meminta dia menjaga kenderaan terbabit bagi mengelak ia ditarik bank kerana bayaran ansuran sudah beberapa bulan tidak dilunaskan.

"Bagaimanapun dia terkejut selepas pemeriksaan ke atas nombor casis SUV itu mendapati nombor pendaftarannya tidak sama dengan nombor pendaftaran asal dan cukai jalan yang digunakan juga adalah palsu," katanya pada sidang media selepas operasi yang tamat, 7 malam tadi.

Shahrul Azhar berkata, berikutan itu pihaknya menyita SUV terbabit mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan majikan lelaki itu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Shahrul Azhar berkata, dalam operasi tiga jam bermula 4 petang itu, 270 saman dikeluarkan selepas pemeriksaan terhadap 740 kenderaan dilakukan.

"Kesalahan tertinggi dicatatkan dalam operasi kali ini ialah pemandu membawa kenderaan tanpa lesen memandu dengan 106 saman dikeluarkan.

"Perkara ini sangat mengecewakan kerana terdapat segelintir penunggang yang mampu membawa motosikal mahal, tetapi tidak memiliki lesen yang kosnya hanya kira-kira RM400," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2018 @ 11:20pm
d