mutakhir

Jaga adab, akhlak Islam

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Individu atau kumpulan yang ingin menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini, perlu menjaga adab dan mengamalkan akhlak Islam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perhimpunan terbabit tidak boleh menjadi seruan yang menzalimi agama dan bangsa lain sehingga boleh menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam.

“Saya ingin mengingatkan mereka yang ingin menyertai perhimpunan aman ini supaya mengamalkan akhlak Islam iaitu tidak memaki hamun, mencarut dan melaungkan ungkapan yang menyanggahi prinsip Islam.

“Mereka mesti mengelakkan tingkah laku yang bercanggah dengan ajaran Islam serta menghormati hak jalan selain mematuhi arahan pihak keselamatan demi kebaikan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, semalam.

Sebelum ini isu perhimpunan ICERD yang bakal dianjurkan secara bersama oleh PAS, UMNO dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 8 Disember ini, mendapat bantahan dan reaksi daripada pelbagai pihak dan institusi.

Antara yang membantah perhimpunan itu ialah Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad, dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai objektif perhimpunan aman terbabit, Mohd Asri berkata, penganjur mestilah membangkitkan isu semasa lain yang melanda umat Islam selain daripada ICERD.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, untuk membantah ICERD nampaknya sudah tidak relevan setelah Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) menegaskan kerajaan tidak akan meratifikasikannya.

“Namun, untuk penegasan isu semasa lain yang membabitkan kepentingan umat Islam, ia mungkin relevan kerana dalam suasana sekarang memerlukan suara siasah seperti bantahan ke atas kenyataan jahat ahli politik pelampau Hindu di India baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, meskipun umat Islam hari ini berbeza pendapat dalam beberapa hal, namun realitinya mereka gusar dengan perkembangan mutakhir dan menggesa kerajaan memberikan ruang kepada mereka untuk menzahirkan keresahan itu dalam suasana yang aman.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 10:16am
d