mutakhir

Rekod 3.3 juta pengunjung [METROTV]

Oleh Hamizah Badiran

Serdang: Cuaca panas dan kesukaran mendapatkan parkir tidak menghalang orang ramai menggunakan cuti hujung minggu bersama keluarga untuk mengunjungi hari terakhir Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 yang melabuhkan tirainya, semalam.

Pameran 11 hari yang bermula 22 November lalu di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) itu merakam seribu satu memori dan paling manis apabila ia dianggap berjaya dengan rekod kunjungan 3.3 juta pengunjung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara faktor kejayaan itu ialah terdapatnya pelbagai daya penarik dana aktiviti baru di tujuh laman serta 13 pavilion negeri selain kulinari dan sebagainya.

“Dengan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ MAHA 2018 diharap mampu menjadi penggalak kepada penggunaan teknologi baru dalam sektor agro makanan secara meluas.

“Saya berharap pameran dwitahunan ini juga tidak menjadi sekadar satu pameran semata-mata, sebaliknya dimanfaatkan oleh pengunjung dan pempamer dalam memajukan aktiviti atau industri agromakanan yang diceburi.

“Selain itu, menjadi harapan saya supaya pengunjung terutama graduan dan belia dapat menjadikan kejayaan golongan petani, penternak, nelayan serta usahawan industri asas tani sebagai inspirasi untuk menceburi bidang keusahawanan pertanian.

“Saya yakin kejayaan usahawan tani hingga ke peringkat antarabangsa yang ditampilkan dalam MAHA akan menghakis persepsi negatif bidang agro makanan dalam kalangan masyarakat,” katanya berucap pada Majlis Penutupan MAHA 2018 di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Terdahulu, Wan Azizah dan tetamu kenamaan turut berkesempatan meluangkan masa melakukan walkabout atau lawatan khas ke gerai pameran dan laman yang terdapat di situ.

Sementara itu, Salahuddin berkata, sepanjang tempoh berlangsung MAHA 2018, jualan semasa berjumlah RM150 juta direkodkan manakala 26 memorandum persefahaman (MoU) berjaya ditandatangani dengan nilai RM2.8 bilion.

“Peningkatan jualan pada MAHA kali ini membanggakan buat kementerian selaku penganjur program.

“Lebih membanggakan, kita juga berjaya mencipta 2,083 potensi perniagaan melalui program padanan perniagaan yang diadakan sempena MAHA kali ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan juga, Dr Wan Azizah turut menyampaikan hadiah kepada Pavilion negeri Perak yang menjadi juara bertahan Pertandingan Pavilion Negeri Terbaik MAHA 2018 dengan memenangi hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala dan sijil penghargaan.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 10:48am
d