mutakhir

Rusuhan kuil: Suspek dibawa ke lokasi kejadian [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BEBERAPA suspek yang ditahan berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, minggu lalu, dibawa ke lokasi kejadian, hari ini.

Sekumpulan lelaki yang memakai baju lokap itu tiba di lokasi 12.45 tengah hari tadi dengan menaiki bas serta diiring anggota polis trafik.

Lebih 50 anggota polis termasuk anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal ketat kawasan kuil bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di lokasi kejadian.

Semua suspek dilihat meninggalkan lokasi pada 1.10 petang selepas kira-kira setengah jam dibawa ke kawasan sekitar kuil oleh anggota polis.

Anggota polis di lokasi kejadian memaklumkan bahawa suspek dibawa ke lokasi itu bagi membantu siasatan pihak polis.

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati anggota polis masih mengawal ketat kawasan sekitar kuil itu bagi memastikan keadaan aman.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, polis sudah menahan seramai 58 individu terdiri daripada 18 individu bangsa India, dua Cina dan 38 Melayu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa lalu dipercayai berpunca akibat perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baru hingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Rusuhan itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera, 23 kenderaan dibakar perusuh dan kerosakan pada sebuah bangunan yang dikaitkan dengan syarikat pemaju.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 2:36pm
d