mutakhir

Tiga polis ditahan kes rokok seludup, menagih dadah

Oleh Wartawan NSTP

BERSELINDUNG di sebalik perniagaan menjual burger, tiga anggota polis dipercayai menjalankan aktiviti menjual rokok seludup dan penyalahgunaan dadah sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas serbuan dilakukan sepasukan polis di gerai burger berkenaan di Sea Park, Petaling Jaya, pada 10 malam kelmarin.

Sumber berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam yang memaklumkan mengenai aktiviti penjualan rokok seludup dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, katanya, beberapa anggota polis memakai pakaian seragam sering dilihat melepak di lokasi itu dalam jangka masa lama tanpa menjalankan tugas.

“Ketiga-tiga anggota berusia antara 28 hingga 34 tahun itu ditahan di gerai burger berkenaan dan siasatan mendapati mereka bertugas di balai polis di Petaling Jaya.

“Pemeriksaan lanjut terhadap gerai burger milik suspek menemui sebanyak lapan kotak rokok disyaki seludup di dalam plastik berwarna biru di dalam laci meja gerai burger berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai beberapa rekod dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan termasuk tidak hadir tugas serta gagal mengisytiharkan pemilikan harta.

“Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua suspek dibawa ke Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15 (10) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 3:01pm
d