mutakhir

Orang kaya kena bayar bil elektrik

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

GOLONGAN isi rumah mewah yang mempunyai bil elektrik bulanan RM20 ke bawah tidak akan menikmati subsidi dan perlu membayar bil berkenaan mulai bulan depan.

Menteri Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, ia selari dengan dasar kerajaan menyalurkan subsidi elektrik secara bersasar, khusus buat golongan miskin dan miskin tegar.

“Ada juga kondominium mewah, rumah teres besar dan banglo mencatat bil elektrik kurang RM20 sebulan dan itu berlaku kerana mereka selalu tiada di rumah.

“Mulai bulan depan, mereka perlu membayar bil elektrik walaupun kurang RM20 kerana tidak termasuk dalam golongan sasar yang menikmati subsidi sedemikian.

“Penyaluran subsidi bersasar hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Bee Yin berkata, laporan penuh dan hasil kajian berhubung status operasi loji Lynas akan diumumkan esok.

Katanya, kementerian sudah menerima laporan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Material Plants (LAMP) pada 28 November lalu.

“Kita sedang meneliti laporan dan kenyataan media mengenainya akan dikeluarkan esok.

“Orang ramai boleh mengakses laporan berkenaan mulai 4 petang,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 5:40pm
d