mutakhir

MCA terburu-buru

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MIC mengakui terkilan dengan keputusan MCA yang disifatkan terburu-buru dalam mencadangkan pembubaran Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengakui sukar melihat rasional MCA mahu membubarkan gabungan yang wujud sekian lama itu sedangkan ia belum dibincang oleh parti komponen lain.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika cadangan atau konsep baharu dibincang sebelum membuat keputusan.

“Jika anda mempunyai cadangan untuk pindah ke rumah tetapi tergesa-gesa meninggalkan rumah lama sedangkan rumah baharu belum siap, mana anda nak tinggal sementara rumah itu siap?

“Sama juga jika anda ada ideologi dan konsep baharu tetapi tergesa-gesa mahu tinggalkan apa yang ada sekarang tanpa berfikir atau duduk berbincang.

“Tidak perlu bubar, fikir dulu cadangan serta idea itu. Jangan ada idea terus mahu buat keputusan, mana nak pergi?” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Saravanan yakin keputusan muktamad akan dibuat oleh kepemimpinan tertinggi BN kelak.

Bagaimanapun, beliau berharap MCA mempertimbangkan semula cadangan pembubaran BN kerana tiada keperluan meninggalkan gabungan itu.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 6:32pm
d