mutakhir

Suka-suka nak pukul orang... [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

WANITA warga emas cedera di hidung selepas terpelanting dan terhantuk pada dinding bangunan selepas dipukul lelaki tidak dikenali di sebuah lorong di Taman Melaka Raya, hari ini.

Kejadian pada 4.17 petang menimpa mangsa berusia 60-an itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pejabat The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Melaka.

Berdasarkan rakaman CCTV, wanita yang tinggal di Semabok itu sedang berjalan kaki dengan memegang payung menuju ke arah sebuah restoran.

Bagaimanapun, kelihatan seorang lelaki dari arah restoran berkenaan secara tiba-tiba menghayunkan tangan dengan kuat terhadap wanita itu apabila berselisih dengan mangsa.

Perbuatan lelaki dipercayai berusia 20-an itu dilihat dan dimarahi pemandu van syarikat penghantaran yang kebetulan melalui lokasi berkenaan menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri.

Orang awam yang kebetulan melalui lorong serta berada di belakang restoran berkenaan cuba membantu mangsa, sebelum ambulans tiba memberi bantuan kecemasan kira-kira 10 minit kemudian.

Dalam pada itu, difahamkan, lelaki terbabit dipercayai tidak waras dan polis pernah dihubungi untuk menangkap suspek kerana sering mengganggu orang awam.

Bagaimanapun, lelaki itu bersembunyi dan menghilangkan diri sebaik polis tiba di lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan kejadian.

“Kita masih memeriksa sekiranya ada laporan dibuat pihak Hospital Melaka mahupun mangsa sendiri. Namun sehingga kini, belum ada laporan diterima,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 6:33pm
d