mutakhir

Asah bakat cucu jadi tok dalang [METROTV]

Oleh Sharifah Mahsinah Abdullah

EYO Hock Seng adalah satu-satunya tok dalang dalam persembahan wayang kulit berbangsa Cina di Kelantan yang sudah menceburi bidang itu lebih 40 tahun lalu.

Hock Seng, 63, juga antara kira-kira 10 tok dalang yang masih bergiat aktif mengadakan persembahan di negeri ini.

Walaupun sudah lama bergiat dalam bidang itu, Hock Seng kecewa kerana kesemua tujuh anaknya itu tidak mewarisi bakat yang ada padanya.

Bagaimanapun, kini Hock Seng mampu tersenyum kerana minat dalam bidang itu diwarisi seorang cucunya yang berusia lapan tahun.

Katanya, Hock Seng berkata, cucunya, Adam Eyo yang juga murid Tahun Dua SK Bendang Pauh dilihat meminati seni wayang kulit ketika berusia enam tahun.

“Mula-mula saya bimbang kerana kesemua tujuh anak saya tidak langsung menunjukkan minat bermain wayang kulit walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

“Bagaimanapun, syukur kerana Adam sangat berminat dan sentiasa teruja untuk mengikut saya ketika membuat persembahan.

“Dek kerana minatnya itu, saya terpaksa membuat beberapa patung wayang kulit untuknya supaya dia dapat bermain dan berlatih dengan patung itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Parit dekat Chekok di sini, hari ini.

Hock Seng yang mesra dengan nama `Pak Cu’ dalam kalangan penggiat wayang kulit dan penduduk setempat berkata, dia akan terus mengasah bakat yang ada pada cucunya itu sehingga usianya mencapai 12 tahun.

“Bila melihat minat Adam, saya dapat merasakan sebahagian diri saya ada padanya kerana saya meminati wayang kulit ketika usia sebayanya,” katanya yang mengetuai kumpulan wayang kulit diberi nama ‘Sri Campuran’.

Sementara itu, Adam berkata, antara watak yang digemarinya adalah ‘Hanuman’ dan ‘Sri Rama’.

“Saya paling menggemari watak Hanuman kerana dia seorang yang garang dan suka bergaduh.

“Datuk berjanji akan terus mengasah bakat saya ini supaya satu hari nanti saya dapat menjadi penggantinya,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 6:40pm
d