mutakhir

Askar sesat sudah ditemui

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan kaki Gunung Jerai semalam, ditemui selamat berhampiran sebuah masjid di Yan, hari ini.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa, Shahrul Nizam Ali, 34, yang dilancarkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak ditamatkan pada 3.52 petang.

Komander Operasi Zon 2 BBP Guar Chempedak Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa pada 11.13 malam semalam.

“Sebelum itu, motosikal dinaiki mangsa ditemui di kawasan chalet berdekatan Makam Tok Syeikh Batu Hampar berhampiran Gunung Jerai oleh orang awam.

“Operasi mencari mangsa disertai 10 anggota bomba bersama 32 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Renjer Hutan,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang tersesat berkemungkinan berjalan kaki sejauh kira-kira empat kilometer sebelum keluar di kawasan hutan berdekatan masjid berkenaan.

Azmir berkata, mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh jemaah masjid yang kemudian memaklumkan pihak berkuasa mengenai keadaannya.

“Mangsa hanya mengadu sakit dada mungkin akibat keletihan sepanjang mencari jalan keluar sejak dilaporkan hilang.

“Anggoat tentera itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 6:46pm
d