mutakhir

Dua beradik bebas tuduhan bunuh abang

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA beradik menarik lega selepas dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian abang mereka tanpa niat pada Mei tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas dua tertuduh itu, Ahmad Nazri, 35, dan Abdul Rahman Mohd, 28, didapati tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Terdahulu, Azman dalam penghakimannya berkata, dua beradik itu sedang mempertahankan diri daripada diserang abang mereka yang bersenjatakan parang dalam kejadian itu.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh berkenaan didakwa menyebabkan kematian Ahmad Najib, 41, dengan mengetahui perbuatan itu mungkin menyebabkan kematiannya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah di Kampung Gong Badak Pak Maseh, Kuala Terengganu antara 9.30 pagi pada 15 Mei 2017 hingga 7.15 malam pada 22 Mei 2017.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka diwakili peguam, Che Amir Che Musa dan Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mengikut fakta kes, mangsa (Ahmad Najib) pergi ke rumah keluarganya bagi mendapatkan wang daripada ibunya pada 9.30 pagi, 15 Mei 2017.

Berlaku pergaduhan kecil antara mangsa dan ibunya menyebabkan adiknya, Abdul Rahman pergi ke dapur dan bertanyakan ibunya mengenai kejadian itu.

Ibu mereka kemudian memaklumkan mangsa mengamuk dan meminta duit menyebabkan Abdul Rahman memanggil seorang lagi abangnya iaitu Ahmad Nazri untuk bertanyakan mengenai kejadian itu kepada Ahmad Najib.

Bagaimanapun, mangsa mengamuk dan bertindak menyerang mereka sehingga berlaku pergelutan.

Mangsa bagaimanapun meninggal dunia beberapa hari kemudian di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat kecederaan di kepala kesan pergelutan itu.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 7:24pm
d