mutakhir

Bawa syiar Islam

Oleh Yusmizal Dolah Aling

MISI dakwah ke Sulawesi Tengah. Itu perancangan empat orang aktivis International Relief dan Humanitarian Outreach (IReach) dalam usaha membawa syiar Islam kepada 100 orang etnik Taa' Wana yang juga masyarakat Orang Asli di daerah itu.

Pengarahnya Johan Ariff Ismail berkata, delegasi akan berlepas Sabtu ini dan akan bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia untuk berdakwah dan seterusnya mengislamkan penduduk yang menyatakan kesediaan untuk memeluk agama Allah SWT.

Katanya, pihaknya memperuntukkan RM300 untuk saudara baru manakala tenaga pengajar akan bersama mereka sepenuh masa untuk mendalami ilmu agama sehinggalah mereka dapat menyesuaikan diri sebagai seorang muslim.

"Menerusi rakan gabungan IReach, mereka menyatakan ingin memeluk Islam selepas melihat cara hidup masyarakat muslim di sana sebelum ini.

"Ada juga penduduk tinggal di sepanjang Sungai Bangka yang sudah memeluk Islam sebelum ini. Mereka juga kita akan santuni," katanya kepada Harian Metro.

Johan Ariff berkata, segala persiapan sudah pun diatur termasuk mendapatkan tenaga pengajar yang akan membantu saudara baru mendalami Islam termasuk kelas pengukuhan agama serta akidah secara berterusan.

"Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun 553038585368 (Maybank) atau layari Facebook IReach MAPIM untuk maklumat lanjut. Sama-samalah kita berdoa supaya kerja ummah ini dipermudahkan," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 7:39pm
d