mutakhir

Pastikan visa untuk pelancong sebenar

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN diminta mengkaji semula pengeluaran visa bagi memastikan ia hanya dikeluarkan kepada pelancong berkualiti dan memanfaatkan negara.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN UMNO-Arau) berkata, ia susulan timbulnya isu pengeluaran visa terutamanya kepada ‘pelancong’ dari China menggunakan gambar beruk baru-baru ini.

“Kita dimaklumkan ada visa dikeluarkan buat permohonan yang letak gambar monkey (beruk). Kenapa sampai begitu?

“Dua juta orang (pelancong) dah masuk (ke Malaysia) dan berapa orang yang dah keluar sebab kita tahu kalau tak keluar, dia ambil duit mana nak berbelanja?

“Kalau dia pakai duit dalam negara ini, bekerja, kita rugi sebab kita mahukan pelancong yang ada kualiti, datang sini berbelanja bukannya curi-curi bekerja,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 12 November lalu, akhbar Harian Metro mendedahkan kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamat sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar memberi keuntungan atas angin kepada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

UKSB yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Bagi membuktikan ketirisan dan kelemahan sistem ini, wartawan Harian Metro membuat permohonan eNTRI dengan menyertakan foto seekor beruk, nombor tiket palsu dan alamat sebuah agensi pihak berkuasa di Malaysia.

Dengan bantuan ejen pelancongan, satu pasport palsu turut digunakan dan permohonan itu diluluskan kurang dari lima minit sebaik fi dibayar.

Ketirisan itu terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Shahidan berkata, tegurannya itu bukan bertujuan mengkritik kerajaan sebaliknya bersama-sama untuk menyelamatkan negara.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 7:53pm
d