mutakhir

Rumah kakak 'port' jual ketum

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TINDAKAN seorang remaja lelaki menjadikan rumah kakaknya sebagai lokasi menjual air ketum membawa padah apabila dia ditahan polis di Bandar Sunggala, Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sepasukan anggotanya menyerbu kediaman terbabit jam 11.20 pagi sebaik menerima maklumat awam.

Katanya, pemeriksaan di stor rumah menemui 15 bungkus air ketum seberat 7.5 liter yang dimasukkan dalam kotak polistirena, selain dua bungkusan plastik mengandungi daum ketum seberat sembilan kilogram.

“Siasatan mendapati suspek berusia 19 tahun mendapat bekalan ketum dari negeri di utara. Dia yang juga penganggur difahamkan baru terbabit kegiatan itu,” katanya.

Menurut Aidi Sham, semua air dan daun ketum bernilai RM1,000 untuk bekalan 100 pelanggan bagi pasaran tempatan.

“Sehubungan itu polis menahan remaja terbabit mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Kami juga merampas semua bekalan ketum dan akan membawanya ke Mahkamah Majistret Port Dickson, esok bagi mendapatkan perintah reman,” katanya.

Menurut Aidi Sham, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada kakak remaja itu terbabit sama dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum.

Katanya, jika sabit kesalahan remaja berkenaan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 8:50pm
d