mutakhir

Dua 'anggota polis' ditahan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TINDAKAN dua lelaki menyamar sebagai anggota polis dan memperdaya seorang lelaki terbongkar selepas mereka ditahan secara berasingan di Jitra, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek pertama berusia 42 ditahan ditahan di Taman Pulasan, manakala suspek kedua berusia 35 tahun ditahan di Taman Pasu.

Katanya, dalam kejadian Rabu lalu, kedua-dua suspek yang menaiki kereta bertindak memperdaya seorang lelaki berusia 30-an di hadapan sebuah motel di Taman Ihsan, jam 12.30 tengah hari.

“Kedua-dua suspek yang memperkenalkan diri sebagai polis bertindak menahan mangsa sebelum mengarahkan dia mengikut mereka ke balai polis kerana kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

“Salah seorang suspek turut merampas motosikal mangsa menyebabkan dia yang ketakutan bersetuju mengikut suspek menaiki kenderaan terbabit kononnya untuk ke balai polis,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, mangsa kemudian ditinggalkan di hadapan sebuah sekolah di kawasan berdekatan selepas suspek merampas wang tunai berjumlah RM220 miliknya.

Katanya, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek memiliki pelbagai rekod jenayah membabitkan kes dadah, jenayah dan judi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 10:51pm
d