mutakhir

Lelaki dayus pukul bini

Oleh Nor Farhani Che Ad

HANYA kerana ditegur memandu dalam keadaan mabuk, seorang lelaki tergamak menumbuk, menendang dan menampar isterinya dalam kejadian di Taman Cengal, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.40 petang itu, lelaki, 40, terbabit dikatakan baharu sahaja tiba di rumah sebelum menyerang isterinya berusia 40-an sehingga turut mencederakan ibunya yang cuba meleraikan pergaduhan pasangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, sebelum itu mangsa menerima panggilan daripada anak lelaki mereka yang ketika itu bersama bapanya memaklumkan suspek sedang memandu dalam keadaan mabuk pada 1.30 tengah hari.

“Berikutan itu, mangsa meminta suspek memberhentikan kereta di tepi jalan kerana bimbangkan keselamatan suami dan anak mereka yang berusia 10 tahun.

“Bagaimanapun sebaik suspek tiba di rumah mereka, dia bertindak memarahi isteri serta anak mereka kerana tidak berpuas hati akibat ditegur.

“Suspek kemudian bertindak menumbuk, menendang dan menampar isteri serta ibunya berkali-kali selain turut membaling peralatan rumah mereka,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, akibat bimbang keselamatan mereka sekeluarga, isteri suspek bertindak membuat laporan polis sebelum lelaki itu ditahan di rumahnya kira-kira 6 petang hari ini.

Katanya, hasil soal siasat, suspek tidak mengaku memukul isterinya dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Disiarkan pada: December 3, 2018 @ 11:41pm
d