mutakhir

Kelemahan lepas bah

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 mendedahkan terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan Projek Pemulihan Pascabanjir Institusi Pendidikan, tahun lalu.

Antaranya, penentuan sekolah yang memerlukan pembaikan atau penggantian aset, pengurusan projek belum mencapai tahap kecekapan optimum, perolehan penggantian aset/peralatan dan buku teks kurang cekap serta pembekalan aset/peralatan dan buku teks yang berlebihan.

Menurut laporan, 382 sekolah terbabit banjir tahun lalu di enam negeri iaitu di Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah, Johor dan Perak dengan keseluruhan RM224.54 juta diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi projek itu sehingga 2017.

“Sebanyak RM220.40 juta daripada jumlah peruntukan itu dibelanjakan untuk projek berkenaan dan sampel audit dilakukan di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Bagi tiga negeri ini, pembaikan kerosakan sebenar dilaksanakan di 1,129 sekolah berbanding 1,011 unit yang diluluskan. Penggantian sebenar aset/peralatan pula membabitkan 864 sekolah berbanding 727 yang diluluskan manakala penggantian buku teks membabitkan 286 sekolah.

“Walaupun bilangan sebenar sekolah ini melebihi kelulusan KPM, namun pihak Audit mendapati wujud kelemahan dalam proses penentuan sekolah yang memerlukan pembaikan atau penggantian.

“Ini menyebabkan ada kerja pembaikan dijalankan di sekolah yang tidak disenaraikan KPM, malah ada sekolah yang sepatutnya dilaksanakan pembaikan dan penggantian peralatan tidak menerimanya,” dedah laporan itu.

Menurut laporan itu, keadaan itu menjejaskan objektif projek pemulihan pascabanjir di tiga negeri terbabit, namun secara keseluruhannya, peruntukan disalurkan membolehkan sekolah beroperasi semula dan memulakan penggal persekolahan baharu pada tarikh yang ditetapkan.

Sementara itu, antara penemuan utama Audit berdasarkan sampel kajian termasuk pembaikan terhadap kerosakan akibat banjir di dua sekolah tidak dilaksanakan manakala kerosakan di sebuah sekolah tidak dibaiki sepenuhnya, 12 kerja pembaikan dibuat di enam sekolah terhadap kerosakan bukan disebabkan banjir membabitkan RM1.09 juta, 467 daripada 3,199 item aset digantikan dengan kos RM136,166 walaupun sekolah tidak ada membuat permohonan dan 26,021 naskhah buku teks bernilai RM251,349 digantikan di empat sekolah walaupun tiada kerosakan/tidak diperlukan.

“Selain itu, laporan pelaksanaan perolehan secara darurat tidak disediakan Jabatan Pendidikan Negeri serta Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) menyebabkan KPM tidak mengemukakan laporan kepada Kementerian Kewangan seperti ditetapkan dalam Arahan Perbendaharaan 173.2,” menurut laporan itu.

Bagi mengatasi kelemahan terbabit, pihak Audit mengesyorkan KPM mengkaji semula garis panduan, prosedur kerja dan peraturan berkaitan pelaksanaan projek pemulihan pascabanjir merangkumi semua aspek.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 10:56am
d