mutakhir

Geng samun, ragut kecundang

Oleh Nor Farhani Che Ad

KEGIATAN sekumpulan lelaki dikenali sebagai ‘Geng Bang Chik’ melakukan samun dan ragut berakhir selepas lima ahli kumpulan itu ditahan, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata suspek yang juga penduduk tempatan berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan dalam operasi berasingan antara 27 hingga 28 November lalu di sekitar Sungai Petani.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya tujuh kes samun dan satu kes ragut sekitar Kuala Muda manakala dua lagi kes samun di Baling dan Sik, Kedah.

“Kumpulan ini dikesan aktif sejak sebulan lalu selepas kami menerima laporan pada 8 November berkaitan kes samun ke atas ke atas seorang lelaki dengan cara melanggar kenderaan mangsa sebelum mengacukan pisau.

“Kumpulan itu turut melakukan kegiatan samun di tepi jalan selain menjadikan stesen minyak, pasar raya, kedai 24 jam dan kedai barangan pertukangan sebagai sasaran.

“Mereka akan berpura-pura menjadi pelanggan dan berpakaian celoreng untuk masuk ke premis berkenaan sebelum menyamun menggunakan pistol dan parang,” katanya dalam kenyataan di Sungai Petani, hari ini.

Adzli berkata, kumpulan berkenaan turut menggunakan cat semburan bagi menyerang mangsa yang cuba melawan mereka.

“Hasil kegiatan dilakukan, kumpulan berkenaan dipercayai mengaut wang tunai antara RM20,000 hingga RM30,000 termasuk komputer riba dan pelbagai barangan peribadi mangsa.

“Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis syabu dan mereka sudah direman bagi membantu siasatan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 10:59am
d