mutakhir

Buntu kos ubat

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Seorang isteri buntu memikirkan keadaan kesihatan suaminya, Che Saberi Che Din, 62, yang menderita barah kelenjar sehingga menyebabkan mukanya membengkak.

Zaimah Ishak, 59, dari Kampung Sawah Liat di sini, berkata, pada mulanya terdapat ketumbuhan pada bahagian bawah telinga suaminya sejak setahun lalu.

Katanya, muka suaminya mula membengkak selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu pada 14 November lalu di Hospital Melaka.

“Sebelum ini, suami pernah mendapatkan rawatan bagi mengenal pasti ketumbuhan berkenaan di beberapa hospital.

“Pemeriksaan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan ultrasound dijalankan di sebuah hospital swasta di Seremban bagaimanapun gagal mengesan penyakit dihidapinya.

“Suami saya kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebelum dirujuk ke Hospital Melaka selepas dikesan menghidap barah kelenjar dan seterusnya menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Zaimah berkata, keadaan muka yang membengkak menyebabkan suaminya tidak boleh makan makanan pejal, melainkan bubur nasi saja.

Katanya, dia kini buntu memikirkan kos perbelanjaan perubatan suaminya, lebih-lebih lagi dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir akan bersara tidak lama lagi.

Orang ramai yang mahu membantu pasangan suami isteri ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 155069256586 atas nama Che Saberi Che Din.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 11:25am
d