mutakhir

RM116.7 juta: Kes didengar 11 Februari

Oleh Murni Wan Omar

PERMOHONAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh UMNO berhubung tuntutan wang RM116.7 juta didakwa milik parti itu akan didengar pada 11 Februari tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO ketika ditemui selepas sebutan semula di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

“Pada tarikh lalu... hari ini, sudah ditetapkan untuk mendengar permohonan UMNO supaya PDRM mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang RM116.7 juta milik parti.

“Bagaimanapun mahkamah mahu mendengar permohonan PDRM bagi membatalkan saman kami terlebih dahulu. Mahkamah juga menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semula permohonan UMNO mendapatkan dokumen berhubung sitaan itu,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Narkunavathy Sundareson dan Khairul Nizam Mohd Kamal hadir bagi mewakili PDRM dan kerajaan.

Pada 3 Oktober lalu, UMNO melalui pegawai awamnya Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen daripada PDRM iaitu salinan laporan polis yang menjadi asas sitaan berkenaan, salinan senarai wang dan gambar wang yang disita, salinan semua gambar yang disita dan rajah kasar penemuan wang yang disita.

Pada 21 September lalu, UMNO melalui pegawai awamnya, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh memfailkan saman bagi menuntut wang dirampas PDRM itu.

Wang berkenaan disita di Tower B, Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, pada 17 Mei lalu.

UMNO menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Sakri Arifin; Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK, R Rajagopal; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Parti itu memohon perintah supaya wang RM116.7 juta itu dipulangkan kepada mereka, selain menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan.

UMNO mendakwa adalah pemilik wang disita itu dan menyatakan bahawa defendan secara salah mengganggunya dengan menyita secara tidak sah serta merampas dan mengambil alih pemilikan dana terbabit.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 4:01pm
d