mutakhir

Akibat percaya kawan

Oleh Teoh Pei Ying

GARA-GARA percayakan rakan dengan meminjamkan nama dan nombor akaun bank, tukang masak menjadi mangsa penipuan rakannya yang menggunakan butiran itu untuk meminjam wang daripada ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chong, 37, memberitahu, rakannya yang dikenali sebagai Ah Hao datang berkunjung ke kampung halamannya di Raub, Pahang pada September lalu untuk membantunya mencari penjual durian.

“Sebelum pergi ke tempat menjual durian, dia ada minta untuk meminjam nombor akaun bank saya bagi membolehkan seorang rakannya pindahkan wang kerana mendakwa akaun banknya disenarai hitam.

“Saya tidak bertanya banyak dan terus memberikan nombor akaun bank padanya sebelum saya keluarkan wang berjumlah RM800 bagi pihak Ah Hao,” katanya dalam sidang media di pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan (PSCD) MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Beberapa minggu selepas itu katanya, beberapa lelaki yang mengaku sebagai pengutip hutang datang ke kediamannya pada pada 26 September lalu untuk mengutip bayaran balik pinjaman yang dibuat daripada ah long.

“Mereka tinggalkan sekeping kertas yang tertera gambar berserta maklumat peribadi saya dan meminta saya menghubungi nombor telefon yang turut tertera di situ.

“Bila saya hubungi mereka, saya diberitahu ada membuat dua pinjaman daripada ah long berjumlah RM6,300 tetapi bila saya minta mereka beri bukti pinjaman, mereka gagal berbuat demikian,” katanya lagi.

Kata Chong lagi, pengutip hutang terbabit juga enggan berjumpa dengannya dan hanya memintanya memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

“Selepas itu, saya mula diugut oleh mereka apabila rumah saya disimbah cat merah beberapa kali iaitu pada 26 Oktober serta pada 13 dan 26 November lalu.

“Susulan kejadian 13 November itu, saya buat aduan ke PSCD dan Pengerusinya, Datuk Seri Michael Chong nasihatkan saya untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk merakam perbuatan pengutip hutang terbabit,” tambahnya.

Chong yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berkata, mereka berjaya merakam perbuatan suspek ketika mereka menyimbah cat merah di rumahnya pada 26 November lalu dan membuat laporan polis.

“Bagaimanapun pihak polis memaklumkan yang nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah nombor palsu.

“Justeru, saya berharap Ah Hao akan tampil dan menyelesaikan perkara ini kerana dia tidak dapat dihubungi sehingga sekarang. Saya juga tidak pasti berapa banyak hutang yang dibuat menggunakan nama saya,” kata Chong.

Tambahnya, dia dan keluarganya kini terpaksa hidup dalam ketakutan akibat perbuatan Ah Hao.

Sementara itu, Michael Chong berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan hampir serupa seperti berlaku ke atas Chong.

“Ada yang pinjamkan maklumat peribadi dan MyKad kepada rakan dan ada juga yang meminjamkannya kepada orang yang tidak dikenali kerana ditawarkan komisen.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ada kemungkinan maklumat berkenaan akan disalah guna pihak tidak bertanggung jawab untuk membuat pinjaman along atau kegiatan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 5:07pm
d