mutakhir

Malaysia bantah tatacara ILS Singapura

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

MALAYSIA tidak menentang pembangunan Lapangan Terbang Seletar, Singapura, tetapi jelas membantah tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) lapangan terbang itu yang melalui ruang udara Pasir Gudang, Johor.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembangunan lapangan terbang berkenaan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa dan Kerajaan Singapura.

“Itu kita hormat. Berkaitan laluan penerbangan serta pendaratan pesawat, pihak berkuasa Singapura boleh menetapkan dengan menggunakan ruang udara mereka sendiri.

“Pendirian kita adalah sangat jelas, kita tidak menentang pembangunan Lapangan Terbang Seletar, tetapi kita membantah ILS yang melalui ruang udara Pasir Gudang kerana ia bakal menjejaskan pembangunan di kawasan itu untuk jangka masa panjang.

“Dengan ILS yang mereka siarkan tanpa kebenaran Malaysia itu, apabila pesawat ingin mendarat di lapangan terbang berkenaan, mereka perlu terbang rendah di ruang udara Pasir Gudang, sekali gus menjejaskan pembangunan di kawasan berkenaan yang mana bangunan tinggi tidak boleh dibina.

“Sebenarnya ketika ini pun sudah ada bangunan tinggi di Pasir Gudang, dan secara teknikalnya tidak boleh untuk ILS itu, dibenarkan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Loke memberitahu Dewan Rakyat, hari ini, bahawa Kementerian Luar akan menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Singapura susulan penyiaran tatacara ILS Lapangan Terbang Seletar tanpa kebenaran pada 1 Disember lalu.

Katanya, ketetapan kerajaan itu sudah dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 November lalu bagi menjamin kedaulatan ruang udara negara, sekali gus memastikan pembangunan sekitar Pasir Gudang tidak tergugat.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 5:14pm
d