mutakhir

'Tajuddin, Ibrahim fitnah saya hina Islam'

Oleh Nadia Hamid dan Nor Ain Mohamed Radhi

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali diberi masa 24 jam untuk menarik balik kenyataan mereka terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy berkata akan mengambil tindakan undang-undang dan saman fitnah jika mereka enggan berbuat demikian.

“Saya memberi kedua-dua pemimpin ini 24 jam untuk menarik balik kenyataan mereka dalam media baru-baru ini, atau bersedia menghadapi saman fitnah daripada saya,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Waytha Moorthy berkata tindakan undang-undang dianggap saluran terbaik untuk membersihkan namanya daripada tohmahan melulu.

“Saya menjadi sasaran sejak menjawab soalan di Dewan Rakyat mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sebulan lalu.

“Tuduhan liar dan pembohongan mengenai saya telah dikeluarkan mereka yang mempunyai motif tersembunyi,” katanya.

Waytha Moorthy turut menyifatkan kenyataan dua pemimpin itu sebagai tidak membantu menyatukan negara dan dianggap tidak sesuai untuk sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia.

“Mereka telah mengeluarkan pelbagai kenyataan palsu dan berunsur fitnah mengenai saya, seolah-olah saya telah menghina masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

“Ini tuduhan liar dan ‘ucapan benci’ untuk menghasut orang ramai menghadiri perhimpunan anti-ICERD, yang dianjurkan PAS dan UMNO, dijadualkan Ahad ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 5:25pm
d