mutakhir

[UPDATE] Macam 'zon perang'...

Oleh Mohd Roji Kawi dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

BUKAN satu, tetapi dua kali letupan berlaku menggegarkan pusat beli-belah CityOne Megamall di Kuching, hari ini.

Keadaan itu didakwa seorang saksi yang juga kakitangan penyelenggaran pusat beli-belah terbabit ketika kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang.

“Berlaku dentuman kuat sebanyak dua kali disusuli rasa bergegar dan bahang panas sehingga dapat dirasakan di tempat saya bertugas di tingkat satu.

“Impak letupan cukup kuat dan dapat dirasakan sehingga menjangkau jarak 100 meter dari lokasi kejadian yang berada di tingkat bawah,” katanya.

Dia yang enggan dikenali, berkata suasana agak panik ketika itu, lebih-lebih lagi selepas dinding restoran berkenaan runtuh dan menghempap beberapa pekerja kontraktor.

“Ketika kejadian, pusat beli-belah ini agak sibuk dan dipenuhi pengunjung. Saya terdengar jeritan kesakitan, tangisan dan meminta pertolongan.

“Suasana tidak ubah seperti ‘zon perang’, dengan kelihatan beberapa mangsa bergelimpangan menahan kesakitan, selain melecur,” katanya.

Ketika kejadian, saksi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, namun memberanikan diri membantu menyelamatkan beberapa mangsa dengan membawa mereka keluar dari pusat beli-belah itu.

“Kemudian, barulah saya dimaklumkan oleh rakan setugas bahawa berlaku kejadian letupan gas di salah sebuah restoran yang sedang diubahsuai di tingkat bawah.

“Difahamkan, kejadian berlaku ketika beberapa pekerja sedang menguji peralatan dapur di restoran berkenaan sebelum gas tiba-tiba meletup sehingga meranapkan keseluruhan premis itu dan premis bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Johny Ting, 66, berkata dia bernasib baik kerana kejadian berlaku hanya beberapa meter daripadanya.

“Ketika itu saya berada di atas tangga bersebelahan restoran berkenaan. Letupan itu cukup kuat sehingga saya boleh nampak dengan jelas serpihan dinding berterbangan.

“Saya tergamam seketika apabila melihat ramai yang terbaring di depan restoran yang runtuh itu,” katanya.

Berita berkaitan

Tak sangka adik jadi mangsa

[UPDATE] 3 maut letupan di CityOne MegaMall

[UPDATE] 2 pekerja restoran turut maut

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 7:26pm
d