mutakhir

Laporan kes bomba lemas 16 Disember ini

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

LAPORAN penuh kejadian enam anggota bomba lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, 3 Oktober lalu akan didedahkan kepada umum pada 16 Disember ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, laporan itu adalah hasil penyelidikan terhadap insiden membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pada 16 Disember ini, laporan itu akan didedahkan kepada umum.

“Jika ada keperluan memperbaiki SOP (prosedur operasi standard), kementerian akan mengambil kira perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota PPDA Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam, lemas ketika operasi cari dan selamat Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong.

Kawasan berkenaan adalah tempat kawalan air banjir tasik dan terjunan air.

Berikutan itu, Zuraida mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden terbabit.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 8:26pm
d