mutakhir

Hati-hati buat kenyataan - Muhyiddin

Oleh Fazrik Kamarudin

SEMUA pihak sama ada yang mengeluarkan kenyataan atau melaporkannya perlu berhati-hati bagi mengelak berlakunya salah faham.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sudah menghubungi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mendapatkan penjelasannya berhubung kenyataan memasukkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyelewengan membabitkan ahli politik dalam sukatan pelajaran Sejarah di sekolah.

“Semua dan saya juga kena berhati-hati, media pun tolong bantu.

“Saya dah terima penjelasan daripada beliau (Maszlee) dan eloklah dia buat pembetulan begitu untuk memberi penerangan.

“Lagipun, saya juga pernah menjadi Menteri Pendidikan, apa sahaja yang hendak dimasukkan ke dalam silibus mata pelajaran sejarah perlu diteliti oleh panel tertentu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bulanan Kementerian Dalam Negeri bersama PDRM, di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Maszlee perlu lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan.

Terdahulu, Maszlee menafikan laporan media berkaitan kenyataannya itu.

Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd Saari mendakwa, perkataan sejarah yang disebut Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am.

Beliau menyalahkan laporan media yang dianggap tidak tepat kerana keputusan untuk memasukkan isu 1MDB ke dalam subjek Sejarah terserah kepada jawatankuasa kajian kurikulum Kementerian Pendidikan.

Semalam, Maszlee semasa Sidang Dewan Rakyat berkata, isu berkaitan skandal 1MDB dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah di sekolah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan pada sesi soal jawab.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 9:21pm
d