mutakhir

Hadiah menarik foto Pak Belang

ZOO Negara mempelawa peminat fotografi tanah air untuk menyertai pertandingan Penjelajah Foto dengan tawaran hadiah wang tunai yang menarik.

Pertandingan membabitkan kategori terbuka, pelajar sekolah menengah dan rendah, selain kategori khas Harimau Malaya itu bakal diadakan di Zoo Negara pada 15 Disember ini.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, pertandingan kategori khas ‘Pak Belang’ itu bakal menjadi tumpuan, dan mencabar kreativiti peserta untuk merakam pelbagai aksi menarik Harimau Malaya di dalam Zoo Negara.

“Orang ramai boleh merakam gambar Harimau Malaya di dalam di Zoo Negara sahaja sama ada sebelum atau pada hari pertandingan pada 15 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga kategori yang menawarkan hadiah terkumpul RM15,000 itu diadakan bertujuan menggalakkan orang ramai berkunjung ke Zoo Negara pada musim cuti sekolah ini.

Menurutnya, peserta boleh menggunakan semua bentuk kamera sama ada kamera digital atau telefon bimbit untuk merakam apa-apa subjek di dalam Zoo Negara pada hari pertandingan tetapi tidak boleh menggunakan pesawat dron.

Katanya, orang ramai hanya perlu membayar pendaftaran pertandingan termasuk tiket masuk ke Zoo Negara bernilai RM85 bagi kategori khas dan terbuka serta RM55 bagi kategori sekolah.

Disiarkan pada: December 4, 2018 @ 9:27pm
d