mutakhir

Dzulkifli tiba di SPRM untuk diambil keterangan [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada 10.25 pagi untuk dirakam keterangan berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Dzulkifli tiba di SPRM dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail.

Beliau adalah antara individu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu turut terbabit dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 10:54am
d