mutakhir

'Mudahnya kau buat duit!'

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PENUNTUT universiti swasta ditahan selepas dipercayai terbabit menguruskan perkhidmatan seks membabitkan tiga wanita di Kota Bharu, semalam.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Turut ditahan, tiga wanita berkenaan di dua lokasi berasingan di bandar berkenaan.

Pegawai Turus D7 Kelantan, Asisten Superintendan Mat Zol Ismail, lelaki terbabit ditahan di hadapan lif tingkat satu apartmen di Lorong Minyak Gas.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang wanita berusia 36 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang sedang melayan seorang pelanggan lelaki di situ.

“Pada serbuan ketiga di apartmen di Jalan Post Office Lama, polis menahan dua wanita berusia 27 dan 40 tahun, masing-masing berasal dari Sarawak dan Melaka,” ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu, dengan menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WeChat.

Katanya, pelanggan juga perlu membayar deposit selepas proses tawar-menawar selesai.

“Wanita terbabit kemudiannya akan dibawa bertemu pelanggan di rumah tumpangan di sekitar Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, tiga wanita itu menjalankan aktiviti pelacuran secara persendirian atau freelance.

Katanya, penuntut yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu bertindak sebagai bapa ayam yang menguruskan pelanggan.

“Mereka akan bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain mengikut permintaan pelanggan dengan bayaran RM300 sekali perkhidmatan,” katanya.

Mat Zol berkata, polis merampas telefon bimbit, kunci apartmen serta satu beg mengandungi wang tunai bernilai RM1,900 daripada lelaki berkenaan.

“Kita juga merampas peralatan untuk hubungan seks iaitu kondom, minyak pelincir, tiga telefon bimbit serta wang tunai RM2,925 dipercayai wang hasil pelacuran daripada tiga wanita,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 12:26pm
d