mutakhir

Kalau belum ajal...

Oleh Melvin Joni

BAU gas yang kuat mendorong petugas Restoran Nene Chicken, Mohamad Shahrizan, 22, berlari keluar dari premis berkenaan hanya beberapa saat sebelum berlakunya letupan semalam.

Malah, tiada apa dapat dikatakannya, kecuali rasa syukur kerana terselamat dalam insiden kira-kira 3.30 petang itu yang sehingga kini meragut tiga nyawa dan mencederakan 41 mangsa lain.

“Sebaik terhidu bau gas yang kuat, saya terus bergegas keluar kerana rasa tidak sedap hati. Ketika itulah letupan kuat berlaku. Hanya beberapa saat saja yang ‘memisahkan’.

“Saluran gas yang bocor hanya berjarak empat meter dari lokasi saya berada ketika itu... memang kuat bau gas berkenaan. Syukurlah, nyawa masih panjang,” katanya.

Dia yang bertugas di Restoran Nene Chicken di Genting Highlands, namun dipinjamkan sementara untuk membantu operasi pembukaan cawangan baharu di Pusat Beli Belah CityOne Megamall yang sepatutnya dijadualkan berlangsung hari ini.

Katanya, walaupun sempat melarikan diri, dia turut merasakan impak gegaran yang cukup kuat, selain bahang letupan.

“Ia pengalaman yang cukup menggerunkan,” katanya yang melecur 20 peratus dan masih menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, berlaku letupan kuat di restoran di Pusat Beli Belah CityOne Megamall dipercayai berpunca dari kebocoran saluran gas di premis berkenaan.

Impak letupan menyebabkan bahagian siling dan dinding restoran berkenaan lalu menghempap tiga pekerja yang sedang mengemaskini proses pengubahsuaian restoran berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, pekerja terbabit sedang menguji peralatan dapur di restoran berkenaan menjelang proses pembukaannya, yang sepatutnya diadakan hari ini.

Tiga mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Chin Hsien Loong, 29; O Kui Lim, 49, dan Thee Kiom Joong, 24, kesemuanya rakyat tempatan.

Manakala, 41 lagi mangsa dilaporkan cedera, dengan empat daripadanya dilaporkan parah.

Berita berkaitan

Letupan di CityOne: Unggah laporan segera

[UPDATE] Tiada unsur khianat - Polis

[UPDATE] Macam 'zon perang'...

Tak sangka adik jadi mangsa

[UPDATE] 3 maut letupan di CityOne MegaMall

[UPDATE] 2 pekerja restoran turut maut

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 2:25pm
d