mutakhir

Militan Abu Sayyaf dijel, rotan

Oleh Fardy Bungga

DUA individu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengganas militan Abu Sayyaf maisng-masing dihukum penjara empat dan lima bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, selepas mengaku bersalah masuk secara tidak sah ke negara ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azreena Aziz turut mengenakan hukuman satu kali rotan terhadap kedua-dua tertuduh yang berasal dari Filipina itu.

Tertuduh pertama, Abdul Abrera, 39, yang masuk ke negara ini sejak tahun 1995 ditahan pada 10 November lalu di Kinarut, Papar.

Tertuduh kedua, Majid Abu Bakar, 35, ditahan pada 8 November lalu di Ranau selepas masuk ke negara ini kira-kira dua bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Asisten Superintendan Sabrina Jinius, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 3:21pm
d