mutakhir

'Saya masih Ahli Parlimen Cameron Highlands'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

AHLI Parlimen Cameron Highlands Datuk C Sivarraajh berkata, arahan meninggalkan Dewan dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat hari ini, sebagai tidak adil kerana mendakwa masih sah anggota yang sah.

“Saya masih Ahli Parlimen yang sah dan mempunyai masa 14 hari sehingga 12 Disember untuk membuat rayuan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 30 November lalu.

“Saya hormati sistem dan proses perundangan tapi saya dah periksa dengan pakar saya.

“Selagi hakim Mahkamah Tinggi tidak menghantar notis penghakiman kepada Speaker menyatakan kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands, saya masih Ahli Parlimen yang diwartakan.

“Saya masih boleh hadir Dewan Rakyat. Saya mahu jumpa Speaker untuk jelaskan perkara ini sebab saya ada masa sehingga 12 Disember.

“Mungkin Speaker tidak faham tetapi kalau beliau masih nak buat demikian (arah keluar Dewan) saya terima tapi saya perlu terangkan hak,” katanya.

Setakat hari ini, Sivarraajh belum membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu.

“Saya akan beritahu bila mahu mengemukakan rayuan,” katanya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 5:33pm
d