mutakhir

Tindakan Speaker langgar Perlembagaan

Oleh Nur Lela Zulkipli

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan arahan diberikan kepada Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk C Sivarraajh supaya meninggalkan Dewan Rakyat kerana bertentangan dengan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff hari ini mengarahkan Sivarraajh meninggalkan Dewan selepas statusnya sebagai Ahli Parlimen menjadi tanda tanya susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kepada Sivarraajh kerana kes pembatalan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan.

“Beliau masih Ahli Parlimen yang sah kerana kes berkenaan masih lagi dalam proses rayuan.

“Jadi, tiada sebab untuk beliau diusir semata-mata kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tanpa meneliti peruntukan Parlimen,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyifatkan keputusan membatalkan kemenangan Sivarraajh di Cameron Highlands tidak mempunyai kaitan dengan kehadiran di Dewan Rakyat kerana beliau akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

“Oleh itu, kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak boleh dikosongkan mengikut Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan sehingga Hakim Pilihan Raya memperoleh keputusan kes rayuan Mahkamah Persekutuan

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu membenarkan Sivarraajh menghadiri sidang Parlimen seperti mana diperuntukkan di bawah Undang-undang Pilihan Raya,” katanya.

Menurut beliau lagi, apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Mereka boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan sepertimana termaktub di bawah Seksyen 36A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Jika dirujuk Seksyen 36C akta berkenaan pula, keputusan Hakim Pilihan Raya adalah muktamad hanya selepas sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan,” katanya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Sivarraajh.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 8:20pm
d