mutakhir

2 jam Abdul Aziz 'menghadap' SPRM

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan wujud gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, mengesahkan memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM di Ipoh hari ini.

“Saya mengesahkan sudah berjumpa SPRM dan memberi keterangan selama dua jam mengenai isu fitnah menjatuhkan Menteri Besar Perak sebentar tadi.

“Kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi NSTP mengesahkan pihaknya memanggil Abdul Aziz untuk membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

“Abdul Aziz sudah diambil keterangan hari ini dan beliau akan dipanggil semula jika perlu,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi adalah individu utama yang didakwa oleh UMNO sebagai perancang untuk membuat undi tidak percaya berkenaan.

Pendedahan wujudnya gerakan menjatuhkan Ahmad Faizal dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga Ketua Pembangkang negeri, Datuk Saarani Mohamad pada 25 November lalu.

Beliau menyatakan lima ADUN UMNO ditemui seorang EXCO kerajaan negeri bagi mendapatkan sokongan usul undi tidak percaya ketika sidang DUN kali ini.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2019 di sidang DUN semalam, Saarani mendedahkan Abdul Aziz adalah individu yang berjumpa ADUN UMNO berkenaan.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak bagaimanapun menafikan menjadi dalang dalam perkara itu dan menyifatkan tuduhan Saarani sebagai ‘cerita kartun’.

Ahmad Faizal pula mengesahkan pendedahan wujudnya cubaan menjatuhkan kerajaan negeri dan dirinya itu akan dibawa serta dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Sepanjang sidang DUN yang bermula 27 November lalu dan berakhir petang tadi, tiada usul undi tidak percaya dibawa oleh mana-mana ADUN atau EXCO bagi menyingkirkan Ahmad Faizal.

Disiarkan pada: December 5, 2018 @ 10:02pm
d