mutakhir

Geng Tok Uban tumpas [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

CURI, simpan dan jual. Demikian modus operandi yang digunakan Geng Tok Uban di Pasir Mas, yang memecah masuk bengkel motosikal di Tok Uban, di sini, minggu lalu.

Lebih menarik, ketiga-tiga tugas itu dijalankan oleh tiga individu berbeza.

Dalam kejadian awal pagi pada 26 November lalu itu, tiga lelaki berusia 23 hingga 36 tahun melarikan pelbagai alat ganti kenderaan dan minyak silinder bernilai RM31,000.

Bagaimanapun, hasil maklumat awam dan risikan semua suspek berjaya ditahan pada jam 5.30 petang, 29 November lalu, di Tok Uban.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner, Abdullah Mohammad Piah berkata, semua suspek aktif melakukan pecah kedai sejak Oktober lalu.

“Hasil siasatan, setiap suspek yang ditahan ini memainkan peranan masing-masing dalam melakukan aktiviti jenayah ini.

“Suspek pertama berusia 23 tahun berperanan memecah masuk bengkel dan melarikan semua barang curi dengan menggunakan Proton Exora, sebelum menyerahkannya kepada suspek kedua berusia 36 tahun untuk disembunyikan.

“Selepas beberapa hari disimpan di rumahnya di Tok Uban, barang itu diserahkan kepada suspek ketiga untuk dijual di kedainya di Gua Musang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 11:21am
d