mutakhir

Najib sah turut serta

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut serta dalam perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah himpunan yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad dalam satu sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan Najib mengesahkan akan turut serta dalam perhimpunan itu dan percaya beliau mempunyai bilangan pengikutnya sendiri selaku bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pekan.

“Bukan setakat Najib, kita juga mengalu-alukan pemimpin lain dalam kerajaan termasuk Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed sendiri untuk turun, sama-sama bersolidariti pada perhimpunan itu kelak.

“Ini termasuk mereka yang sebelum ini bertegas membantah cadangan ratifikasi ICERD seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau.

Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk polis untuk memastikan perhimpunan yang dijadual bermula jam 2 petang di Jalan Raja di sini, berlangsung secara aman dan selamat.

“Perhimpunan juga akan dikawal kira-kira 12,000 tenaga daripada Unit Amal (Jabatan Amal PAS) untuk memastikan himpunan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi.

“Kita ingin tegaskan sekali lagi, perhimpunan ini bukan sekadar berkaitan ICERD tetapi sebagai penyatuan Melayu dan Islam justeru kita mahu hindarkan sebarang bentuk provokasi berkaitan agama dan kaum.

“Perhimpunan ini bukan berasakan bangsa tetapi lebih kepada ‘signal’ bantahan terhadap segelintir pemimpin dalam kerajaan yang cuba mengubah Perlembagaan Negara yang memberi hak keistimewaan kepada Melayu, Bumiputera dan agama Islam,” jelas beliau.

Menurutnya, mereka yang cuba ‘mengusik’ Perlembagaan Negara bertindak seolah-olah tidak cintakan keamanan dan hubungan baik antara kaum yang terjalin selama ini.

“Mereka tahu sekiranya Perlembagaan Negara diusik, ia akan akan menimbulkan rasa tidak senang orang Melayu dan Islam dan kesannya amat besar.

“Kita bimbang perkara ini boleh mendorong kepada berlakunya ketegangan yang lebih serius,” ujar beliau.

Katanya, pada hari Sabtu ini, peserta akan berhimpun terlebih dahulu di tiga ‘check point’ iaitu Masjid Jamek, Masjid Negara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) berhampiran pusat membeli-belah Sogo sebelum berarak ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 12:13pm
d