mutakhir

Tak mengaku bakar tiga rumah

Oleh Mary Victoria Dass

LELAKI dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, tiga pertuduhan membakar rumah ahli keluarga dan jiran di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, bulan lalu.

Tertuduh, Ramlan Madon, 50, yang tidak bekerja bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan terhadap tiga rumah iaitu milik Suhaili Abu Bakar, 37, Samakyah Johari, 53, serta Suzana Abu Bakar, 51.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Surau, Kampung Melayu Pandan, pada 9 malam, 25 November lalu.

Ramdan yang hadir ke mahkamah dengan berseluar pendek dan memakai baju tanpa lengan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes.

Ramlan yang berkelakuan aneh termasuk kelihatan khayal termasuk bercakap kepada dirinya sendiri tidak dibenar untuk diikat jamin.

Sebaliknya, mahkamah memerintahkan tertuduh supaya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai.

Dalam kejadian pada 25 November, sembilan individu membabitkan tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 12:18pm
d