mutakhir

'Tak lena tidur teringatkan rumah'

Oleh Rosli Ilham

“SEMALAM di sini (pusat pemindahan sementara), tak lena tidur kerana teringatkan rumah. Alhamdulillah banjir dah surut, kita nak balik dah,” kata mangsa banjir, Jawal Jusoh, 60.

Jawal bersama 38 mangsa banjir dari lapan keluarga di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun dibenarkan pulang, sekali gus Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu ditutup, 9 pagi hari ini.

Jawal berkata, setiap tahun apabila tiba musim tengkujuh dia akan berpindah ke PPS berikutan kawasan rumahnya yang rendah mudah dinaiki air.

“Orang nampak kita ceria di PPS, dalam hati hanya Allah yang tahu tak dapat tidur asyik teringat rumah.

“Bimbang barangan dihanyutkan air, bimbang rumah dipenuhi binatang berbisa termasuk ular dan paling sedih ialah letih terpaksa membersihkan rumah,” katanya.

Semalam, seramai 38 mangsa dari lapan keluarga dari Kampung Besul Lama dipindahkan ke PPS di surau kampung berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 12:19pm
d