mutakhir

Tak wajar cuti untuk demonstrasi - Anwar

Oleh Ahmad Suhael Adnan

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas tindakan Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan cuti peristiwa Ahad ini, sempena himpunan kesyukuran pembatalan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Anwar berkata, adalah tidak wajar untuk kerajaan di peringkat Persekutuan atau negeri memberi cuti semata-mata untuk membolehkan rakyat menghadiri demonstrasi.

“Saya tidak fikir wajar bagi cuti untuk demonstrasi," katanya ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, mengumumkan cuti peristiwa di negeri itu sempena berlangsungnya himpunan kesyukuran penolakan ratifikasi ICERD.

Ahmad dilaporkan berkata, cuti peristiwa itu bagi memberi peluang rakyat Kelatan menghadiri perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, esok.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, yang termaktub kontrak sosial dipersetujui oleh wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan itu, beberapa pihak dan mufti, termasuk Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpandangan himpunan itu tidak lagi wajar diteruskan dan perlu dibatalkan.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 1:00pm
d