mutakhir

Bergaya sakan...

Oleh Wartawan NSTP

TEMA ‘Malam Kesultanan Melayu’ yang dipilih menyaksikan makan malam pada Hari Keluarga BMW E60 Official Club Malaysia di Johor Bahru, kelmarin penuh warna-warni serta pelbagai gaya.

Setiausaha kelab berkenaan, Mohamad Zaman Awang Kechik berkata, ini adalah kali ketiga kelab itu mengadakan hari keluarga selepas kali pertama di Pulau Pinang pada 2016 dan Kuantan, Pahang pada tahun lalu.

“Kelab kami mempunyai 280 ahli sejak ditubuhkan pada 2013 dan bagi hari keluarga kali ini, seramai 170 ahli serta ahli keluarga menyertainya.

“Ia membabitkan 50 kereta BMW E60 dari seluruh Malaysia membabitkan empat zon iaitu Utara, Selatan, Pantai Timur dan Tengah.

“Kami memilih tema Malam Kesultanan Melayu kerana mahu mengembalikan kegemilangan pakaian tradisional Melayu serta pahlawan Melayu di samping menampilkan kemeriahan dari segi warna warni,” katanya.

Beliau berkata, pada hari pertama program tiga hari dua malam itu, peserta dari Utara, Pantai Timur dan Tengah berkumpul di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban sebelum berkonvoi ke Johor Bahru.

Menurutnya, mereka disambut peserta Zon Selatan di Plaza Tol Senai dan berkonvoi pula ke hotel dan pada sebelah malam, mereka diiringi kumpulan motosikal Southern Bikers Kingdom (SBK) untuk makan malam.

“Pada hari kedua, kami dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi untuk menyertai telematch membabitkan lapan permainan untuk dewasa dan tiga untuk kanak-kanak sebelum kumpulan Hang Lekiu muncul sebagai juara keseluruhan.

“Pada makan malam bertemakan Malam Kesultanan Melayu itu, kami turut melancarkan laman web kelab iaitu www.bmwe60officialclubmalaysia.com,” katanya.

Beliau berkata, antara hadiah utama cabutan bertuah adalah motosikal, televisyen dan telefon pintar.

Katanya, kelab berkenaan ditubuhkan untuk menghimpunkan seramai mungkin pemilik kereta BMW E60 di seluruh negara.

“Selain itu, kami mahu mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan ahli melalui aktiviti kelab dan membentuk komuniti yang kuat dan disegani.

“Sudah pasti, acara seperti ini bukan saja mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli, malah mewujudkan pelbagai jaringan dan rangkaian termasuk dalam bidang perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2018 @ 1:13pm
d